Posted by: Maahad Al-Kautsar | April 1, 2016

Nukilan sajak dari presiden ikatan kopi sastera, Puan Shirley Idris

image

MENCARI NUR QALBI

Tola”al badru alaina,min saniyatil wada
wajaba syukru alaina mada allilahida
selawat dan salam untukmu
Ya Rasulullah s.a.w
Ya Habilbullah

jejak pertama di puncak Tambunan
menderu zikir malaikat
membelah langit meluncur ke awan
Sayidul mursalin pensuruh Allah
Al-Amin yang mulia
memimpim ummah

Mencarimu Nur Qalbi
kembaraku membawa ke jantungmu Al-Kauthar
mencari Raudhahmu di tiang- tiang keinsafan
di mimbar ketakwaan kususuri sirah junjungan
dalam qiam tahajud
dari sujud ke sujud
pada saatnya senyap itu tergiang
ada sehujung doa tengadah kata
janji-janji zikir tahmid anak syurga

Allahhumma Solli ‘Alaa Muhammad
Ya Robbi Solli ‘Alaihi Wassalam
Shirley Idris,
Pulau Pinang.
Dalam kembara kemanusiaan ke Maahad Tahfiz Al-Kautsar, Tambunan Sabah.
31 Mac 2016
2)
PUISI KASIH PESAN ABAH
( Maahad Tahfiz Al-Kauthsar)
Abah
ada resah yang kaugumamkan
yang lelahnya memahat kudrat
mengalur ke nadi zaman
membelah keringat usiamu

di kala waktu terus mendewasa
riak kedut di wajahmu mencari sinar
membekali perjalanan panjangmu
sesekali menoleh
jejak itu tertinggal kenangan
menjadi bayangan kehidupan.

Pesanmu Abah
dalam semangat harmoni
dalam kepelbagaian empati
pupuk sikap jati diri
tanpa mengira etnik
membudaya dalam ukhwah silahturrahim
menghormati
bersatu dalam solidariti
kebersamaan perpaduan nasional
adalah tunjang
satu matlamat baharu.

Persefahaman dan kerukunan hidup
kita pupuk menjadi sumber kekuatan
untuk menyumbang kepada kemajuan negara
pada masa hadapan
menjaga adap
beretika memelihara kedamaian
adalah tonggak pembangunan
peradaban kemajuan bangsa.

Abah
Dikau penaungku di Maahad ini
akanku ingat pesanmu
bersama kita kekalkan hubungan harmonis
antara kaum dan agama
sentiasa rasional
ketepikan rasa curiga dan perjudis
pada satu titik kita kongsi bersama

dikaulah pelengkap hidupku
menuntun tiap langkahku
menghormatimu dalam tiap doaku
sembah sujudku mencium restumu
ada syurga bagiku

Shirley Idris,
Pulau Pinang.
31 Mac 2016

3)
JANTUNG MAAHAD TAHFIZ Al-KAUTHSAR

Di pondok ini
dalam tasbih bertahmid
membisik kalimah memartabatkan bangsa
menjulang warisan ketamadunan
segala peradaban menyatu
membentuk wawasan
benteng harmoni
melakar cinta pewaris
menunjang wibawa
menjunjung amanah

Di pondok ini
mimbar merdekamu
biar teguh beranjung ukhwah
menguncur maknai resam
di luar sempadan kemanusiaan
memayungi maruah tanah kasih ini

memugar harapan di tiap degup
dalam doa seharum kasturi
melangkah santun keimanan
dengan semangat juang
berpasak perpaduan
di jantungmu Al-Kauthsar !

Shirley Idris,
Pulau Pinang.
31 Mac 2016

4)
KUDUS Al-KAUTHSAR

Di hujung Tambunan
ada fajar sidik bermusafir
melakar hari-hari jauh
dalam remang
merdunya alunan azan menatahi zikir
tembang syair hidayat Tuhan.

Mengimbau saujana rasa
menyisir tasbih syair biru
waktunya bulan putih
bersujud keillahian-Mu
pada segala takdir.

Meneruang kacapuri
tergigil aku di pondok ini
keagungan-Mu ya rabbi
huruf-huruf Ayn mengarifi
huruf-huruf Mim memaknai
huruf-huruf Nun menginsafi
di hujung mimbar Maahad
di kudus tadarus .
Shirley Idris ,
Pulau Pinang.
31 Mac 2016

5)
CATATAN ANAK-ANAK SYURGA
( Maahad Al-Kauthsar memayung angan)

Untaian kata berantaian doa
air mata luluh menembus cakrawala
dalam hening mengitari salam
harumnya zikir bertasbih
menyuci jiwa
sebermula kata bicara

Anak-anak syurga
di wajahmu terlakar cita dan harapan
menutupi tiap tangis kesunyataan
menabiri kekinian
menjadi inti diri
terlukis memetri di akhir goresan.

Anak-anak Syurga Al-Kauthsar
dalam lirih lepas nafas
dikau memberi sejuta harapan
biar raga dan rohmu
melayang ke Negeri Abadi
menuntas dunia depan yang jauh
mengapai darjat tertinggi di sisi Khalik.

Selamat anak-anakku
tenang dan damailah di situ
di naungan Maahad kasturi mewangi

biar angin menguraikan udaramu
saatnya …
aku akan berpulang jua.

Shirley Idris,
Pulau Pinang.
31 Mac 2016
6)

GURU KAULAH PAHLAWAN TANPA TANDA
( dedikasi buat Ustaz Ismail , Pengasas Maahad Tahfiz Al-Kauthsar)

Teriring gelombang-gelombang masa
kukirim puisi ini untukmu pahlawan
demi anak didik dikau berjasa
korbankan waktu tebarkan ilmu
perjuangan yang diperjuangkan
amanah luhur iklas semangat
menjana minda rohani dan emosi
mengukuh jati diri
menyubur budaya bangsa teras jitu
memupuk sikap insan bestari
melahirkan masyarakat maju berilmu
mendidik untuk berfikir
beretika tinggi membijaksana
memanusiakan manusia
citra masyarakat.

Engkau menangis ketawa
dalam gelap tembok empat segi
siapa yang tahu ?

Oh Guruku
Dikaulah pahlawan tanpa tanda.
Shirley Idris,
Pulau Pinang.
31 Mac 2016
7)
MENANTI SYURGA

Setiap detik kehidupan
adalah jalan yang membentang
menuju kuburan keabadian

doa-doa suci
mengiring dalam hening kabut iman
pada setiap jarak dan waktu
mengendaplah takwa jadi kesumat
sujud geruh selembar nafas
di hujung sejadah
yang semakin kumal.

Ayat-ayat Tuhan mengusap rindu
Syafaat Rasul menyatu di kalbu
Mimbar Maahad Al-Kauthsar
dibalut hikmah Maghrifah-Mu ya Ilahi
menyantun takbir dan tahmid ini
kasih bermukim menanti syurga

Shirley Idris,
Pulau Pinang.
31 Mac 2016

😎
UMMATAN WASATAN

Di mimbar jiwa yang percaya
hingga tiada ganti akan kasih-Nya
Ummatan Wasatan
tidak larut dalam spiritualisme
tidak juga hanyut dalam materialisme
berimbal warnai kehidupan
dalam kesederhanaan

Agama itu dibawa Nabi
isinya
adalah kitab suci
serangkaian tuntutan
untuk pembangunan
manusia serta dunianya
tatkala menghadap
patuh ke arah kiblat-Mu

Maknai Islam
dengan nama proaktif
progresif tidak hanya pasif
pasrah pada takdir
qada dan qadar
menyuruh pada yang maaruf
mencegah dari yang mungkar
landasan iman
menjana kecemerlangan ummah
menuju ke jalan Allah

Shirley Idris,
Janda Baik, Bentong Pahang
14122014

9)
SERUAN ANAK TAMBUNAN

TAMBUNAN – tegakmu seawal sejarah
dagangnya berzaman berkunjung abad
ribuan tahun harungi masa
ceritera agung kota bahari
mahsyur namamu serata buana
harum namamu
melangkau segenap pelusuk negeri .

Wahai Anak Tambunan
bicaralah hak ketuanan sejati
jangan menaruh harap percaya
jangan lupa musuh banyak acara
bermukim musim diragut khazanahmu
menggunung jasad bangsamu dihumban
berpusar tidak menuai menanggung derita
menatah tulang-temulang hidup tersisa.

Duhai Anak Tambunan
tegaklah berdiri dalam janji
kasihkan agama , bahasa dan budaya
adat dijunjung santun terpuji
jangan berfikir sekadar merenung
jangan bersuara sekadar melaung

Ayuh Anak Tambunan!
serahkan kedaulatan pada ketuanan
aturkan langkah baharu yang berani
kuatkan azam memacu diri
dengan bijak bestari
engkau akan berada
di puncak tertinggi.
Shirley Idris ,
Pulau Pinang
1 April 2016

10)
TASBIH ALAM DI MAAHAD Al-KAUTHSAR

Taman batini Maahad ini melingkar kasih
menguncur ke puncak Akinabalu
nyanyian malaikat alam bertasbih mempesona
di lukisan tarian angin
halus desir dedaunan mengucap syukur

danau-danau hijau saujana menyimpul seloka
kicau burung berpencar dalam tafsir
liuk ikan tagal bersisik gemulai pesona
harum jurai melur dibawa hembusan pawana
melarik harmoni dielus-elus hati

Bagi langit, gunung, awan dan laut
sungai, lurah , lembah dan telaga
dihuni flora fauna
sebuah singgahsana lantera kehidupan
taman sukma perjanjian Tuhan.

Penyair bersyair bertasbih qasidah
terimalah Tuhan jihadnya
sumur batini yang bersatu dengan alam
tahfiz lahir ilmuan pemikir
Al-Kauthsar melakar kebesaran cinta hakiki
Mim Ain Nun
kembali kepada Allah.
Shirley Idris,
Pulau Pinang,
1 April 2016

 

jutaan penghargaan dan terima kasih untuk Puan Shilrey Idris yang dapat membuat 10 sajak untuk maahad al Kautsar dalam masa sehari sahaja. Semoga allah memberkati dan memberi kesihatan dan kesejahteraan untuk beliau , amin ya rabbal alamin.

Posted by: Maahad Al-Kautsar | Disember 6, 2013

Murid Baru Maahad Al-Kautsar Tambunan Dikhatan

Bismillahirrahmanirrahim

     Pada 27 Muharram 1435 H / 1 Disember 2013 M bersamaan dengan hari ahad yang lalu, 3 pelajar Maahad Al-Kautsar yang baru mendaftar telah dihantar oleh murabbi , Ustaz Hadiq Ismail dan dibantu oleh Israfil Malakalu serta murid lama, Jais Kahar dan Hafiz Abdullah ke Hospital Keningau untuk dikhatankan. Murid-murid tersebut adalah ; Aiman Bin Saie (11 tahun) dari Sarawak, Hafiz Haikal (11 tahun) dari Sandakan dan Muhammad Umar Ali Bin Daud (9 tahun) dari Tenom. Kesemua mereka dikhatankan oleh juru khatan ; Encik Jamili Arinen di Hospital Keningau, dan disaksikan oleh keluarga mereka masing-masing.

     Keluarga Aiman Bin Saie dari Sarawak ialah Saie Mentali, Muhd. Qidran Asqalani, Muhd. Haziq Haikal, Nur Fatin Khairunnisa dan Musa B. Eden. Manakala keluarga Hafiz Haikal dari Sandakan ialah Jahrin Nasrun, Kee Sabariah Binti Kee Abdullah, Hjh. Kee Saniah Bt. Kee Abdullah dan Kee Salmiah Bt. Kee Abdullah. Keluarga Umar Ali dari Tenom pula terdiri daripada ayahnya, Daud bin Hj. Sidop, ibunya, Rumi Bt. Leman dan Syfullizan Bin Epul @ Rezwan.

     Pada malam sebelum hari pengkhatanan mereka (sabtu, 30 disember)  Maahad Al-Kautsar Tambunan dan pelajar-pelajar tingkatan 5 di Sekolah Menengah Agama Islam Tambunan yang sedang menduduki peperiksaan SPM, telah bersama-sama melaksanakan majlis membaca Surah Yaasin dan Doa Selamat untuk memohon rahmat semoga murid-murid yang berkhatan dan murid-murid SMU Tambunan yang sedang menduduki peperiksaan SPM mendapat kejayaan yang cemerlang.

    Kita doakan agar murid-murid di Maahad Al-Kautsar ini akan menjadi anak-anak yang pandai, soleh dan menjadi contoh dalam pembangunan ummah. Amin.

kem bina insan maahad al-kautsar tambunan siri 1 2013 yang diadakan pada 10hb – 17hb JAMADILAWAL 1434 H  / 23 mac – 30 mac 2013 yang bertemakan ‘Man Jadda Wajada” ini telah disertai oleh 18 orang peserta dari daerah keninagu, tenom, tambunan, kota kinabalu dan papar. Kem yang dijalankan selama seminggu ini mengajar para peserta untuk berzikir munajat, membaca al-quran dengan betul dan menanamkan sifat ukhwah islamiah di dalam diri setiap peserta.

sedikit aksi yang ditunjukkan ketika sampai di tepi sungai

sedikit aksi yang ditunjukkan ketika sampai di tepi sungai

peserta bersedia untuk menuju ke sungai untuk beriadah

peserta bersedia untuk menuju ke sungai untuk beriadah

ustaz haji ahadin sedang menyampaikan sedikit pesanan untuk para peserta

ustaz haji ahadin sedang menyampaikan sedikit pesanan untuk para peserta

bersedia untuk pulang ke sekolah tetai sebelum itu ambillah dulu gambar kenang-kenangan!

bersedia untuk pulang ke sekolah tetai sebelum itu ambillah dulu gambar kenang-kenangan!

para peserta berjalan kaki bersama-sama untuk ke masjid ketika hendak menghadiri solat jumaat

para peserta berjalan kaki bersama-sama untuk ke masjid ketika hendak menghadiri solat jumaat

kelas zikir yang dikendalikan oleh saudara israfil dan rakan-rakan pembimbing

kelas zikir yang dikendalikan oleh saudara israfil dan rakan-rakan pembimbing

mandi manda dahulu

mandi manda dahulu

para peserta diberi taklimat oleh murabbi sebelum program bermula

para peserta diberi taklimat oleh murabbi sebelum program bermula

murabbi sedang menceritakan kisah tentang tokoh-tokoh islam terdahulu pada waktu rehat

murabbi sedang menceritakan kisah tentang tokoh-tokoh islam terdahulu pada waktu rehat

gotong royong membersihkan surau untuk majlis penutupan

gotong royong membersihkan surau untuk majlis penutupan

ikrar seorang muslim->Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku kuserahkan hanya pada Allah tuhan seru sekelian alam.

ikrar seorang muslim->Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku kuserahkan hanya pada Allah tuhan seru sekelian alam.

kiamullail pada jam 3 pagi

kiamullail pada jam 3 pagi

kimullail pada jam 3 pagi

kimullail pada jam 3 pagi

jangan putus asa!

jangan putus asa!

aktiviti yang dijalankan di sungai tikolod

aktiviti yang dijalankan di sungai tikolod

sempena dengan tema pada kali ini, para peserta berusaha untuk menghidupkan api untuk memasak mi segera. mereka dibahagikan kepada 5 kumpulan

sempena dengan tema pada kali ini, para peserta berusaha untuk menghidupkan api untuk memasak mi segera. mereka dibahagikan kepada 5 kumpulan

selepas selesai solat juaat, para peserta menggulung tikar sembahyang untuk meringankan beban petugas masjid.

selepas selesai solat juaat, para peserta menggulung tikar sembahyang untuk meringankan beban petugas masjid.

disiplin asas kejayaan

disiplin asas kejayaan

Posted by: Maahad Al-Kautsar | Ogos 20, 2012

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

MAAHAD AL KAUTSAR TAMBUNAN DENGAN SUKACITA DAN PENUH TAKZIM MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA KEPADA SELURUH KAUM MUSLIMIN DAN MUSLIMAT. SOKONGAN ANDA SELAMA INI KEPADA MAAHAD AMAT DIHARGAI. 

Posted by: Maahad Al-Kautsar | November 10, 2011

Esok 11 November 2011 bersamaan Jumaat merupakan tarikh keramat. Barangkali angka 111111 itu datang hanya sekali semur hidup kita di muka bumi ini. Tarikh bersejarah itu wajar sekali dijadikan angka penting. Angka itu mudah diingati. Justeru, kami mengajak saudara-saudara semua untuk menjadikan tarikh tersebut sebagai permulaan mencipta sesuatu yang amat bernilai dalam hidup. Kita boleh mulakan pelbagai perubahan drastik dalam hidup bermula esok.

Antaranya, mulakan esok untuk istiqomah dalam solat 5 waktu, istiqomah solat malam, istiqomah membaca istighfar tidak kurang 70 kali sehari, istiqomah dalam menderma, istiqomah bersabar, istiqomah senyum selalu, istiqomah membaca al Quran, istiqomah dalam pelbagai ibadah dan pelbagai lagi perubahan yang cemerlang dan gemilang dalam hidup.

Mulakan esok untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan, rumahtangga, saudara seagama. Mulakan esok untuk datang awal ke tempat kerja. Mulakan esok untuk bekerja dengan tekun dan gigih. Mulakan esok untuk menjadi “orang serba baru” dan lain-lain lagi.

Ayuh! Mulakan pelbagai kecemerlangan dalam hidup pada tarikh keramat ini. Semoga ia benar-benar membawa impak hebat dalam hidup kita.

111111

Posted by: Maahad Al-Kautsar | November 6, 2011

SELAMAT HARI RAYA IDUL ADHA

Dengan setulus hati MAAHAD AL KAUTSAR TAMBUNAN mengucapkan selamat hari raya Idul Adha, maaf zahir dan batin. MAAHAD mengucapkan terimakasih kepada anda semua kerana terus berkunjung ke laman ini. Sesungguhnya kunjungan dan sokongan anda amat dihargai. Teruskan bersama MAAHAD AL KAUTSAR untuk mendapatkan maklumat-maklumat berharga dari semasa ke semasa.

Kepada semua warga Maahad dan penduduk Islam Tambunan, MAAHAD ucapkan selamat berhari raya. Sokongan anda selama ini amat bernilai dan dihargai. Semoga Maahad terus maju ke hadapan dengan cemerlang, gemilang dan terbilang.

Banner Majlis

Tidak ada kata-kata yang mampu diungkapkan melainkan kesyukuran yang setinggi-tingginya kepada Allah s.w.t. Majlis yang pada mulanya dijangka sederhana bertukar menjadi majlis yang benar-benar meninggalkan kenangan indah dan manis. Ia sesungguhnya meriah dan bertenaga! Akhirnya, Maahad Al-Kautsar Tambunan berjaya menyambut ulang tahun kelahirannya yang pertama pada 10 September 2011 (12 Syawal 1432H).

Sambutan tersebut dimeriahkan dengan gabungan program Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Maahad yang dianjurkan bersama dengan pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Tambunan. Pada hari yang sama, USIA Bahagian Tambunan juga mengendalikan Mesyuarat Agungnya di Dewan Mini Maahad Al Kautsar.

Menariknya, majlis ini turut dihadiri oleh pemimpin besar negeri seperti Tan Sri Datuk Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Negeri Sabah yang juga Ahli Parlimen Keningau. Turut hadir adalah orang-orang kenamaan seperti Datuk Lawrence Gimbang, Datuk Nordin Siman, Datuk Hamid Guyah dan ramai lagi pemimpin masyarakat. Dalam ucapan ringkasnya, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan mengucapkan selamat menyambut hari raya kepada Maahad Al Kautsar dan masyarakat Islam Tambunan. Beliau turut menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap perkembangan ilmu pengetahuan apabila menyumbang sebanyak RM10,000 kepada Maahad Al Kautsar dalam majlis tersebut. Beliau melahirkan rasa bangga terhadap suasana harmoni dan perpaduan yang wujud di Sabah dan khususnya Tambunan tanpa mengira bangsa dan agama sesuai dengan konsep 1Malaysia yang diamalkan di negara ini.

YB Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Sabah tiba di perkarangan Maahad. Selamat datang Datuk Seri!

Ustaz Hj Hadiq mengiringi YAB Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan bersalam-salaman dengan para tetamu yang berbaris menyambut ketibaan YAB.

Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan sedang mengambil makanan yang tersedia.. silakan Datuk Seri..

Datuk Seri Timbalan Ketua Menteri sedang memberikan ucapan di hadapan para tetamu Maahad. "inilah bukti 1Malaysia". Sejarah terlakar. YAB adalah pemimpin pertama Negara yang mengunjungi dan memberi ucapan di perkarangan Maahad.

Dr Jeffry Kitingan dan Ust Hj Hadiq Ismail. Lambang harmoni dan perpaduan walau berlainan agama

1Malaysia ada di sini! Selamat datang ke Maahad Al-Kautsar

Dianggarkan majlis ini dikunjungi lebih kurang dalam seribu orang yang datang dari Tambunan, Keningau, Kota Kinabalu dan lain-lain daerah. Perpaduan dan keharmonian masyarakat Tambunan begitu terserlah apabila majlis ini bukan saja dihadiri umat Islam, malah juga oleh sebahagian besar masyarakat bukan Islam dari dalam dan luar daerah Tambunan.

Warga Maahad bersama Datuk Nordin Siman, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah (bersongkok hitam, tengah, baju kemeja lengan pendek merun)

Selain kehadiran para pemimpin negeri dan daerah, majlis turut mendapat suntikan kemeriahan apabila Yayasan Islam Sabah yang diketuai oleh Timbalan Pengerusinya Datuk Hamid Guyah menyampaikan sumbangan berbentuk kuih muih hari raya dari Yayasan kepada Maahad Al Kautsar, Sekolah Ugama Islam (SUI) Tambunan dan masyarakat Islam di Daerah ini. Antara barisan pimpinan Yayasan Islam Sabah yang turut hadir adalah Hj Yahya Ahmad Shah (Setiausaha Yayasan Islam Sabah) dan AJK Pusat seperti Ustaz Jadmin Hj Mohamed Soon, En Radin, En. Amirun Derin dan Puan Raini Hj Musa. Dalam ucapannya, Tuan Hj Yahya Ahmad Shah melahirkan harapan bahawa sumbangan sedemikian akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

Ustaz Hj Hadiq Ismail bersama 3 puteranya menyambut dan mengiring ketibaan Datuk Hamid Guyah, mantan Pegawai Daerah Tambunan

Hj Yahya Ahmad Shah, Setiausaha Yayasan Islam Sabah sedang menyampaikan ucapan sebelum penyerahan bungkusan kuih muih raya

Datuk Hamid Guyah, Timbalan Pengerusi Yayasan Islam Sabah sedang menyerahkan smbangan kuih raya kepada Tuan Guru Ustaz Hadiq Ismail bagi pihak Maahad. Terimakasih Datuk!

Ustaz Idris menerima sumbangan kuih hari raya dari Datuk Hamid Guyah dari YIS bagi pihak Sekolah Ugama Islam (SUI) Tambunan

Debaran adik-adik saat menerima sumbangan kuih muih hari raya dari Yayasan Islam Sabah. Sabar dik...!

Persembahan menarik yang disajikan sepanjang majlis berlangsung dari pagi ke petang turut menarik perhatian para pengunjung apabila para pelajar Maahad Al Kautsar menunjukkan bakat dan kebolehan mereka berpidato dalam pelbagai bahasa seperti Melayu, Inggeris, Arab, Cina dan Dusun. Persembahan sajak dan pidato dari Ketua Pelajar Sekolah SMK Nambayan Tambunan menggamat rasa hati dengan kepetahannya melontarkan suara hebat dan padu. Persembahan Kompang dari pelajar-pelajar Sekolah Ugama Islam (SUI) Tambunan di bawah kelolaan Ustaz Idris menyerikan suasana. Sesekali, majlis diserikan dengan hidangan suara lunak dan merdu dari para pelajar di sekolah daerah Tambunan yang mendendangkan nasyid dan lagu-lagu aidil fitri. Datuk Jeffry Kitingan juga datang ke majlis ini tidak lama selepas itu.

Tuan Guru Ust Hj Hadiq Ismail sedang menyampaikan ucapan kepada para pengunjung

Apa yang melucukan tu? Inilah suasana hari raya ceria dan harmoni. Datuk Nordin Siman, Pengarah JPAN Sabah (tengah) sedang sibuk ber SMS agaknya

Hebat Memang! Inilah antara tenaga-tenaga penting di sebalik kejayaan majlis ulang tahun pertama Maahad

Antara pengunjung budiman yang hadir. macam-macam ada!

kemesraan terserlah

Barisan bakal pemimpin yang mewarnai negara.. siapa tahu!

Antara hadirin yang menyerikan majlis.

Hebat memang!

Tambah lagi dik!

Pose menarik dari Cikgu Nordin (kiri) dan Imam Basman (kanan)

Kedudukan Pentas yang indah menyerlahkan kemariahan majlis. Para pengunjung yang tidak putus-putus tiba dan bersilih ganti dapat melihat dan mendengar dengan jelas acara-acara yang dipersembahkan di atas pentas. Pentas yang diselangi oleh kolam air benar-benar mewujudkan suasana semulajadi dan harmoni. Suara dari pentas begitu jelas dapat didengar oleh para pengunjung. Tidak mustahil tempat ini boleh dijadikan sebagai tapak yang sesuai untuk program-program besar seperti ceramah perdana, forum perdana, forum perpaduan dan pelbagai bentuk pada masa hadapan. Bagi Maahad, luas tapak tangan, tapak Maahad kami tadahkan! Inshaa Allah.

Kedudukan pentas yang indah bersendikan suasana semulajadi

Bendera Malaysia di tengah kolam. Indah bukan?

Kejayaan penganjuran majlis adalah hasil usaha dan kerjasama erat seluruh warga Tambunan, dan khususnya barisan Warga Maahad yang terdiri dari Tuan Guru Ustaz Hj Hadiq Ismail, Dr Yusuf Jasmin dan banyak lagi tenaga lain dalam Maahad. Kerjasama hebat dari USIA Bahagian Tambunan di bawah pimpinan Ustaz Jumain Jikah, Cikgu Azmi Sidik dan barisan kepimpinan USIA yang lain sesungguhnya memberikan suntikan besar dalam menjayakan majlis sebesar itu. Semoga kerjasama padu yang sedia ada akan berterusan.

Majlis ini sepenuhnya dibiayai oleh para penyumbang ikhlas dari pelbagai pihak yang nama-nama mereka tidak dapat disebutkan satu persatu dalam laporan ini. Hanya Allah S.W.T sahaja yang dapat membalas kebaikan yang anda lakukan. Terimakasih yang tak terhingga juga diucapkan kepada Anggota Rela Tambunan yang telah memainkan peranan penting mengawal keluar masuk kenderaan pengunjung yang tiba. Keselamatan kenderaan dan para pengunjung sepanjang majlis berjalan mendapat perhatian yang tinggi dari Anggota Rela berkenaan. Terimakasih atas sumbangan anda!

Melihat sinario semasa, tidak dapat dinafikan bahawa kelahiran Maahad Al Kautsar di tengah-tengah lembah Tambunan yang indah dan permai amat siknifikan dalam usaha menaikkan martabat dan syiar Islam di daerah ini. Sejak kelahirannya pada Julai Tahun 2010, telah banyak program kemasyarakatan dan keagamaan yang berjaya dilaksanakan. Umat Islam dapat bertemu dan berbincang dalam pelbagai perkara hampir setiap hari di Maahad ini. Ukhuwwah dan ikatan persaudaraan semakin terserlah. Majlis ilmu seperti belajar membaca al-Quran dan kuliah-kuliah agama terus mekar di Maahad ini bagi memenuhi tuntutan umat Islam yang begitu kehausan ilmu khususnya ilmu agama. Program khusus untuk memenuhi keperluan saudara kita yang baru memeluk Islam akan terus digiatkan dari semasa ke semasa.

Terimakasih kepada semua pihak yang yang telah menyumbangkan tenaga mereka bagi menjayakan majlis ini. Selamat Hari Ulang Tahun Pertama dan Selamat Menyambut Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin. Semoga Maahad Al-Kautsar Tambunan terus maju!

Posted by: Maahad Al-Kautsar | Ogos 29, 2011

SALAM AIDILFITRI DAN ULANG TAHUN PERTAMA MAAHAD

Maahad Al-Kautsar Tambunan mengucapkan selamat hari raya kepada seluruh warganya, umat Islam di Tambunan dan kepada para tetamu setia. Segala sumbangan dan sokongan anda selama ini kepada Maahad sesungguhnya amat dihargai. Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya.

Sempena ulang tahun kelahirannya yang pertama, Maahad Al Kautsar Tambunan akan mengadakan Sambutan Ulang Tahun dan Majlis Rumah Terbuka Hari raya pada 10hb. September 2011 bersamaan 12  Syawal  1432H (sabtu) dari pagi hingga petang. Menariknya, sesuai dengan penganjuran bersama program tersebut dengan USIA Bahagian Tambunan, Mesyuarat Agong USIA Bahagian Tambunan akan berlangsung di Dewan Mini Maahad Al Kautsar pada hari yang sama.

Majlis tersebut akan diserikan dengan kehadiran para tetamu dari dalam dan luar daerah Tambunan. Beberapa program dan persembahan pelajar dan orang awam dijangka akan menyerikan majlis berkenaan, inshaa Allah. Justeru, anda dialu-alukan ke majlis tersebut bagi memeriahkan lagi suasana hari raya dan sambutan ulang tahun pertama Maahad.

Selama Hari raya, Maaf Zahir dan Batin.

Posted by: Maahad Al-Kautsar | Ogos 7, 2011

BUKU YAASIN: KELUARAN ULUNG MAAHAD 2011

Buku Yaasin: produk pertama Maahad dalam bidang bacaan

Buat julung kalinya Maahad Al-Kautsar berjaya menghasilkan produk pertamanya iaitu buku Yaasin. Buku tersebut mengandungi Surah Yaasin bersama terjemahan dalam Bahasa Malaysia. Beberapa doa berkaitan juga dimuatkan dalam buku tersebut. Ustaz Ghaddafi Ismail Malakalu yang kini bertugas di Bukit Aman Kuala Lumpur merupakan orang kuat di sebalik kejayaan penerbitan julung kalinya itu. Sebagai permulaan, sebanyak 1000 naskhah telah dicetak di Kuala Lumpur dan kini digunakan di Maahad sejak 16 Julai 2011 dan sebahagiannya adalah untuk edaran percuma. Dalam pada itu, seluruh warga Maahad dan khususnya Tuan Guru Ustaz Hj Hadiq Ismail melahirkan rasa kesyukuran atas kejayaan penerbitan buku tersebut buat pertama kalinya sejak penubuhan Maahad Al-Kautsar sejak setahun yang lalu.  Penghasilan bahan bacaan ini diharap mampu menjana usaha Maahad untuk menghasilkan bahan-bahan bacaan berunsur Islam pada masa hadapan.

Posted by: Maahad Al-Kautsar | Julai 28, 2011

Seminar Perbandingan Agama di Tambunan

Maahad Al-Kautsar Tambunan sekali lagi melakar satu sejarah apabila menjadi tuan rumah dalam penganjuran Seminar TOT ROSE- CRS (Comparative Religion Sharing) oleh Kumpulan CRS Team – IKRAM Johor Bahru Tengah. Seminar anjuran bersama Maahad Al-Kautsar Tambunan dan USIA Bahagian Tambunan selama dua hari pada 22 dan 23hb Julai 2011 terlaksana dengan jayanya. Apa yang menarik ialah, program tersebut telah mendapat sambutan di luar dugaan bukan saja masyarakat Islam dari sekitar Tambunan, bahkan juga dari Keningau dan Kota Kinabalu. Lebih 100 orang yang hadir. Dewan Mini Maahad Al-Kautsar di tingkat bawah yang baru disiapkan dipenuhi dengan peserta-peserta yang hadir selama dua hari.

Antara para peserta dan pengendali seminar yang sempat bergambar

Antara penceramah utama yang membuat pengisian selama 2 hari itu ialah Tuan Muhammad Jaysuman Pusppanathan yang didatangkan bersama rombongannya dari Johor. Pengisian beberapa slot menarik berkisar kepada persoalan seperti why Islam?: A journey for the believers, understanding Hinduism, understanding Christianity, Bible & Quran: Textual Criticism, 10 Questions about Christianity & Hinduism, Conversation Practice: How to dakwah dan The signs of creation. Tema utama adalah perbandingan agama.

Seminar tersebut dilihat begitu penting untuk mempersiapkan para daie atau pendakwah Islam dengan ilmu perbandingan agama bagi menghadapi masyarakat baik dari kalangan Islam mahupun bukan Islam. Penyampaian yang berkesan dan mudah difahami terserlah dengan adanya penggunaan alat bantu seminar seperti LCD-SKRIN yang besar. Sedutan-sedutan gambar dan video yang dipaparkan menurut kajian saintifik amat berkesan membangkitkan semangat dan keyakinan jitu para peserta akan kehebatan Islam dan keagungan Allah s.w.t sebagai pencipta ala mini.

Turut menyentuh perasaan para peserta ialah ketika beberapa peserta dijemput untuk berkongsi kisah mengenai pengislaman mereka dan perasaan mereka setelah memeluk Islam. Perasaan sebak para peserta begitu terasa sekali semasa sesi pekongsian kisah dan pengalaman sebelum dan selepas memeluk Islam.

Sesi perkongsian kisah hidup sebelum dan selepas memeluk Islam

Berkongsi kisah hidup, sebak.... dan terharu

Dulu.. sebelum saya masuk Islam.... tapi sekarang.....alhamdulillah, segalanya berubah

Sesi penghujung seminar turut menyaksikan salah seorang tenaga penting dalam CRS Team iaitu Tuan Zulkifly Khair menghadiahkan beberapa buku hasil karangannya kepada Tuan Guru Ustaz Hj. Hadiq Ismail bagi pihak Maahad Al-Kautsar. Seperti biasa, para pelajar Maahad Al-Kautsar turut menyerikan majlis dengan persembahan pidato, kata-kata hikmah, hafazan al-Quran dan terjemahan kepada para hadirin.

Tak kira di hadapan siapa.. anak Maahad siap siaga berentap ke hadapan demi kebenaran

Dengar sini semua.. "Waktu itu lebih berharga dari emas!".

Hafazan Surah al-Soff dan terjemahan

Antara buku karya Tuan Zulkifli Khair sebagai cenderahati

Beberapa peserta termasuk CRS Team turut berkesempatan melawat Pertapaan Kramel-Gereja Katholik sebelah petangnya yang terletak di kawasan tanah tinggi yang mengambil lebih kurang 7 kilometer dari Pekan Tambunan. Para Sisters telah menyambut dengan baik kedatangan rombongan yang menggunakan 3 buah kereta. Beberapa tempat menarik seperti tempat pertapaan penganut Kristian yang luas telah dikunjungi. Para peserta turut merakamkan gambar beramai-ramai bersama para Sisters sebagai tanda harmoni dan perpaduan.

Laluan ke Pertapaan Sister Puteri Karmel

Pemandangan bangunan di sekitar Sister Puteri Karmel dari atas

Rombongan disambut mesra oleh Sisters lambang keharmonian dalam kepelbagaian

Memerhati penorama sekeliling

sekitar pertapaan dengan struktur binaan yang unik

Gambar sebagai lambang harmoni dan perpaduan sesuai slogan "1Malaysia"

Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran seminar selama 2 hari tersebut. Gandingan kerjasama antara USIA Bahagian Tambunan dan Maahad Al-Kautsar dalam memastikan kejayaan program tersebut mampu melahirkan gerak kerja dakwah yang tersusun dan berkesan khususnya di Daerah Tambunan pada masa hadapan. Dr. Yusof Jasmin, selaku Pengerusi Lembaga Maahad Al-Kautsar dan merangkap Presiden Perkumpulan Muallaf Sabah dalam ucapan penutupannya melahirkan rasa kesyukuran dan penghargaan atas komitmen yang dicurahkan oleh semua yang terlibat, khususnya kepada CRS Team dari Johor yang telah memberikan input yang berguna kepada para peserta. Komitmen yang tinggi dari Cikgu Azmi Hj. Sidik selaku Pengarah Program sesungguhnya amat bermakna dalam memastikan seminar tersebut mencapai objektifnya.

Semoga program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan. Maahad Al-Kautsar sentiasa bersedia untuk dijadikan sebagai lokasi pengendalian program-program penting Islamiah dan kemasyarakatan demi kelangsungan pencarian ilmu dan dakwah Islamiah di daerah ini.

Older Posts »

Kategori

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.